Keroncong dan Sejarahnya

Keroncong dikatakan bermula di Pulau Jawa pada abad ke-16 sewaktu pengaruh Portugis mula bertapak di kawasan Tenggara Asia. Ketika itu, seni muzik gamelan digemari di seluruh Pulau Jawa. Alat-alat muzik Barat telah digunakan untuk memainkan lagu-lagu daerah termasuk gamelan.

Proses penyesuaian ini mengambil masa yang lama. Hasilnya seni muzik keroncong menjadi sempurna pada akhir abad ke-19. Namun begitu corak muzik keroncong ini berubah dari semasa ke semasa.

Bentuk seni keroncong dengan seni muzik gamelan mempunyai beberapa aspek yang hampir sama misalnya rentak dan bentuk melodinya. Muzik gamelan dimainkan dengan cara yang teratur, tetapi muzik keroncong dapat ditokok tambah mengikut perasaan pemain-pemainnya. Alat melodi dan bentuk suara yang digunakan dalam persembahan keroncong juga lebih luas.

Antara alat muzik keroncong ialah biola, seruling, gitar, cello, double-bass, cak, keroncong mungkin menambah alat-alat lain seperti alat gitar Hawaii, akordian atau vibrofon.

Muzik keroncong berkembang ke Malaysia dengan kedatangan orang-orang Jawa pada awal abad ke-20. Dikalangan kaum Baba dan Nyonya, lagu keroncong sangat digemari. Di Indonesia, ramai keturunan Cina yang meminati lagu keroncong dan ada antara mereka yang menjadi pencipta terkenal.

Dalam tahun lima puluhan, di negeri Johor khasnya di Johor Bahru telah wujud beberapa buah kumpulan muzik keroncong seperti ‘Suara Timur Keroncong Orkes’ di Kampung Stulang Darat, ‘Pepat Keroncong Party’ di Kampung Tambatan dan Mohd. Amin Johor Bahru, dan ‘Mawar Puteh Keroncong Party’ di Kampung Chik Ami Ngee Heng yang diketui oleh Encik Omar bin Abu Samah.

Pada ketika itu, muzik keroncong biasanya dipersembahkan di majlis jamuan atau pesta. Kini keroncong telah mula bertukar corak, sesuai dengan peredaran masa dan selera terutama cara persembahannya. Gubahan muzik keroncong dibuat untuk permainan pancaragam (orkestra) dan kumpulan gitar rancak.

Johor Dan Pengembangan Keroncong

Program Pengembangan muzik Keroncong telah dilancarkan pada tahun 1997. Program ini bermula dengan pengambilan 5 orang tenaga pengajar keroncong dari Indonesia sehinggalah membawa kepada penganjuran beberapa buah bengkel asas kejurulatihan muzik keroncong. Bengkel ini telah diadakan dengan jayanya pada 15-18 Jun 1999 di Pusat Kegiatan Seni, YWJ.

Bengkel yang dilaksanakan berjaya melahirkan kumpulan muzik keroncong di beberapa buah daerah. Sehingga kini terdapat 11 buah kumpulan keroncong di Majlis-majlis Daerah di Johor seperti Batu Pahat, Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Pontian, Mersing dan Segamat.

Sepanjang tahun 2000, siri pertandingan muzik keroncong dan nyanyian lagu-lagu keroncong di seluruh daerah negeri Johor telah diselengarakan oleh Yayasan Warisan Johor.

Pada 14 Mac 2001, Pertandingan Nyanyian Lagu Keroncong Remaja dan Terbuka Johor telah dilangsungkan di Auditorium RTM, Pusat Penyiaran Sultan Iskandar Johor Bahru. Y.A.B. Dato’ Haji Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor dan Yang Berbahagia Datin Profesor Jamilah Ariffin turut hadir menyerikan majlis dan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan tersebut.

Usaha untuk mengembangkan muzik keroncong ini melalui langkah-langkah yang inovatif dan berkesan akan diteruskan. Dengan sokongan padu semua pihak, muzik keroncong akan muncul sebagai muzik alternative yang digemari ramai.

Alat-alat Muzik Keroncong

#. Violin (Biola)

Alat muzik bertali empat ini dimainkan dengan cara digesek dengan alat penggeseknya yang khas. Sebutan biasa alat ini ialah biola. Violin dan Viola mempunyai sedikit perbezaan. Viola lebih besar daripada violin dan bunyi viola lebih kasar. Violin digunakan dalam muzik keroncong sebagai alat melodi.

#. Seruling (Flute)

Sejenis alat muzik tiupan yang menghasilkan bunyi yang lembut dan gemalai sesuai dengan muzik keroncong.

#. Cuk (Ukulele)

Sejenis alat muzik bertali empat ini merupakan alat utama muzik keroncong.

#. Cak (Tenor Banjo)

Alat muzik bertali empat ini berpasangan dengan cuk (ukulele) dan digunakan dalam muzik keroncong untuk menigkah bunyi rentak.

#. Gitar

Alat muzik bertali enam ini digunakan dalam muzik keroncong. Lazimnya dua buah gitar digunakan iaitu sebuah gitar rentak dan sebuah lagi gitar melodi.

#. Selo (Cello)

Alat muzik bertali empat ini selalunya dimainkan dengan cara digesek. Walau bagaimanapun dalam muzik keroncong alat ini dipetik dengan ibu jari sahaja.

#. Double-Bass

Alat muzik paling besar ini mempunyai empat tali. Dalam Orkestra Simfoni alat ini dimainkan secara digesek, tetapi dalam muzik keroncong dimainkan dengan petikan jari sahaja. Untuk muzik keroncong tiga tali sahaja iaitu G, D dan A digunakan.